23 Januari 2011

SEKOLAHKU DUNIAKU: SMK SUNGAI LIMAU


MAKLUMAT ASAS SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau, 06910 Yan, terletak di dalam Daerah Yan Kedah berada di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda / Yan. Jarak antara sekolah dengan PPD Kuala Muda / Yan sejauh 43 km.

          Keluasan sekolah sebanyak 21 hektar mempunyai empat blok dua tingkat, satu blok bangunan setingkat iaitu Makmal Komputer dan satu blok 3 tingkat iaitu Makmal Sains. Terdapat 29 buah bilik darjah, 3 buah Makmal Sains, 3 buah bengkel KHB, 2 buah bilik Pusat Sumber, 2 buah bilik untuk bilik guru, 4 buah bilik untuk bilik pengurusan / pejabat dan pentadbiran, sebuah Makmal Kimia, sebuah Makmal Biologi dan sebuah Makmal Fizik.

         Bilangan guru adalah seramai 73 orang dan kakitangan sokongan seramai 11 orang. Guru lelaki 25 orang manakala guru perempuan 48 orang, siswazah 70, dan bukan siswazah 3. Jumlah pelajar ialah seramai 1037 orang untuk tahun 2010 dan dijangka meningkat menjadi 1098 orang pada tahun 2011, 1276 orang orang tahun 2012, 1432 tahun 2015, 1586 orang tahun 2014 dan 1741 orang tahun 2015.

          Berdasarkan kajian, keadaan sosio ekonomi waris terdiri daripada 80 % petani yang terlibat dalam aktiviti sawah yang purata pendapatan RM 1,000.00 ke bawah. 15 % waris daripada kakitangan kerajaan dan terlibat dalam sektor perkilangan. Manakala 5 % terlibat dalam lain-lain pekerjaan seperti perniagaan, pertukangan dan sebagainya.

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH

Sungai Limau (SMKSL) telah memulakan sesi persekolahannya pada 1 Januari 1982. Sekolah ini mendapat namanya sempena nama tempat sekolah ini dibuka iaitu Kampung Sungai Limau. Sekolah ini berada dalam Daerah Yan dan diletakkan di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan. Mempunyai keluasan 21 ekar dan terletak di tanah lot bernombor PT. 1/1981, dengan nombor geran HS (D) 9/1981. Jarak dari Pekan Yan  ialah 13 kilometer, 32 kilometer dari Bandaraya Alor Setar, dan 43 kilometer dari Bandaraya Sungai Petani. 
          
           Pada awal penubuhannya, sekolah ini diletakkan dalam kategori sekolah menengah gred B. Semasa dibuka, sekolah ini hanya mempunyai 2 blok bangunan mengandungi 12 buah kelas, pejabat pentadbiran dan perpustakaan. Jumlah pelajar  pada tahun  tersebut  seramai 459 orang dan jumlah guru seramai 19 orang. Pada tahun tersebut , sesi  persekolahan hanya di sebelah pagi sahaja. Semua pelajar sekolah ini datang dari kampung-kampung yang  berada di sekitar sekolah seperti  Kampung  Sungai  Limau Dalam, Kampung Sungai Daun, Kampung Selengkoh, Kampung Sungai Dedap, Kampung  Bahagia, Kampung Sedaka dan beberapa buah kampung lain yang berhampiran. Sebelum sekolah dibuka, pelajar-pelajar dari kampung- kampung tersebut, belajar di SMK Yan dan SMK Guar Chempedak. 
        
           Pengetua pertama yang berkhidmat dan membuka sekolah ini ialah En.Abd. Razak Bin Hashim yang berkhidmat selama 4 tahun. Tahun demi tahun kepimpinan pengetua sekolah ini bersilih ganti dan sehingga 2011, 12 orang pengetua telah mencurahkan khidmat bakti mereka di sekolah ini. Senarai pengetua yang pernah berkhidmat di sekolah ini adalah seperti berikut :-

BIL
NAMA PENGETUA
TAHUN
1
Abdul Razak Bin Hashim
1.1.1982 – 31.1.1986
2
Abdul Mutalib Bin Hashim
1.2.1986 – 30.9.1986
3
Mahadzir Bin Long
1.10.1986 –15.10.1989
4
Abd. Rahim Bin Ahmad
1.10.1989 – 15. 1.1992
5
Mansor Bin Ibrahim
16.1.1992 – 31.1.1995
6
Tajul Urus Bin Mat Zain
1.2.1995 – 31.8.1996
7
Nayan Bin Bakar
1.9.1996 – 15.5.1997
8
Nordin Bin Mansor
16.5.1997 – 15.3.2003
9
Che Su Binti Ahmad
16.3.2003 – 30.9.2005
10
Nasrudin Bin Ab. Rahman
1.10.2005 – 1.11.2008
11
Rasidah Binti Ismail
1.12.2008 – 30.9.2009
12
Hj.Zarawi Bin Hj Dogol
1.10.2009 - sekarang

  Pada tahun 1983 hingga 1987, jumlah pelajar SMK. Sungai Limau meningkat dengan begitu drastik. Pada tahun 1983 terdapat 713 oang pelajar dengan 33 orang guru, tahun 1984; 885 orang pelajar dengan 38 orang guru, 1985; 901 orang pelajar dengan 39 orang guru. Komposisi pelajarnya  bukan sahaja di kalangan pelajar melayu, tetapi juga terdapat sebilangan kecil pelajar cina yang  belajar di  sekolah ini. Kelas peralihan diwujudkan untuk menampung keperluan pelajar cina  tersebut. Keadaan  ini memaksa pengurusan sekolah mengadakan sesi persekolahan kepada 2 sesi iaitu sesi pagi dan petang. Namun begitu, mulai tahun 1988 bilangan pelajar semakin berkurangan kerana 2 buah sekolah menengah baru telah dibuka di kawasan berdekatan, iaitu SMK Dulang dan SMK Batu 17. Pada tahun tersebut bilangan pelajarnya telah berkurang kepada 789 orang dengan guru seramai 37 orang. Pada tahun 1989, 697 orang pelajar dan guru 37 orang, 1990; 623 orang pelajar dan guru 38 orang. Pada 1991, sebuah bangunan  baru telah didirikan, tetapi bilangan pelajar berkurang kepada 580 orang dengan jumlah guru seramai 40 orang. Keadaan ini menyebabkan pengurusan sekolah mengubah sesi persekolahan kepada satu sesi sahaja. SMK Sungai Limau hanya menawarkan pengajian aliran sastera bagi pendidikan menengah atas. Namun demi memenuhi hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan pelajar aliran sains, pengurusan sekolah telah menawarkan aliran sains pada tahun 2000 untuk pelajar tingkatan 4. Pada tahun 2003,  pengurusan sekolah mengambil satu langkah proaktif dengan membuka kelas tingkatan 6 (Pra -U). Langkah ini amat sesuai dengan pengiktirafan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah menaikkan taraf sekolah ini menjadi gred A pada tahun 2002. Mac 2009, SMK. Sungai Limau telah mempunyai pelajar seramai 1045 orang yang belajar di tingkatan 1 hingga tingkatan 6 atas. Penambahan jumlah pelajar ini telah menjadikan bilangan kelas juga turut bertambah kepada 30 kelas. Bilangan pelajar dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang. Berdasarkan pelunjuran, bilangan pelajar dijangka meningkat dan peningkatan ini berlaku seperti jadual di bawah:-
Tahun
Bilangan pelajar
2008
1276
2009
1432
2010
1586
2011
1741

Berkat kepimpinan pengetua-pengetua yang proaktif dan berwawasan, sejak tahun 2000 hingga kini, SMK Sungai Limau telah mencapai beberapa kejayaan dan mencipta nama sebaris dengan sekolah-sekolah primier lain khususnya dalam bidang ko-kurikulum. Ramai pelajar-pelajarnya telah dipilih mewakili daerah, negeri dan kebangsaan terutama dalam acara Seni Silat Olahraga, Sepak Takraw, Bola Baling, Bola Tampar, dan Memanah.


Panorama SMK Sg. Limau













 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan